AKTIVITI, BERITA DAN AKTIVITI

PROGRAM BERSAMA AKRAB: RUANG KITA SEMBANG KITA

SHAH ALAM, 24 Julai 2026 – Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) melalui Ahli AKRAB telah menganjurkan program “Ruang Kita , Sembang Kita” sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh kesejahteraan emosi dan pembangunan kendiri dalam kalangan warga jabatan.

Program dikendalikan oleh ahli AKRAB jabatan , Puan Siti Nor Hashibah binti Jamhari dan Puan Siti Nurkhairunnisa Laila binti Sazali.

Modul yang dijalankan secara interaktif ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan mengenali, memahami dan mengurus emosi dalam kehidupan seharian serta persekitaran kerja. Melalui pelbagai aktiviti refleksi dan perkongsian, peserta berpeluang mengenal pasti emosi yang sedang dialami serta memahami bagaimana emosi mempengaruhi pemikiran, tindakan dan hubungan dengan orang lain.

Program ini turut menekankan bahawa setiap emosi mempunyai peranan dan mesej yang tersendiri. Kesedaran terhadap emosi merupakan langkah pertama dalam membina kesejahteraan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta mewujudkan hubungan kerja yang lebih positif dan harmoni.

Suasana program yang santai, selamat dan penuh kepercayaan membolehkan peserta berkongsi pandangan serta pengalaman secara sukarela, selaras dengan prinsip AKRAB yang mengutamakan empati, kerahsiaan dan sokongan rakan sekerja.

Semoga pengisian yang diperoleh daripada modul ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan menjadi pemangkin kepada pembentukan warga JPSS yang lebih berdaya tahan, prihatin serta mampu menyumbang kepada budaya kerja yang sihat dan sejahtera.

“Kenali emosi, fahami diri, dan bina hubungan yang lebih bermakna.”

#JabatanPendakwaanSyariahSelangor

#JPSS

#AKRABJPSS

#WarnaEmosi

#KesejahteraanEmosi

#BudayaKerjaPositif

Back to list

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *