4 September 2026 | Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor telah menerima kunjungan Dr. Siti Aisyah binti Samudin, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), bagi tujuan penyeliaan dan pemantauan pelajar Universiti Malaya yang sedang menjalani Latihan Industri di JPSS.
Kunjungan tersebut telah disambut dan diwakili oleh Tuan Husaini bin Roslin, Ketua Bahagian Perundangan, Perbicaraan dan Rayuan, JPSS.
Sesi penyeliaan ini bertujuan mendapatkan maklum balas berkaitan perkembangan pelajar sepanjang menjalani Latihan Industri, termasuk aspek kehadiran, disiplin, tugasan, kemahiran serta penglibatan pelajar dalam urusan dan aktiviti kerja di JPSS.
Perbincangan turut menjadi platform bagi pihak APIUM dan JPSS untuk berkongsi pandangan mengenai pelaksanaan Latihan Industri serta memastikan pelajar memperoleh pendedahan yang bersesuaian terhadap persekitaran kerja sebenar, amalan profesional serta pengurusan tugas dalam bidang Syariah dan perundangan.
JPSS merakamkan penghargaan atas kunjungan dan kerjasama pihak APIUM, Universiti Malaya dalam usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan khususnya dalam menyediakan ruang pembelajaran dan pengalaman profesional kepada para pelajar.
Semoga kerjasama yang terjalin ini dapat terus diperkukuh dalam usaha melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan kompeten dalam bidang Syariah dan perundangan.
#JabatanPendakwaanSyariahSelangor



