PERHIMPUNAN JABATAN, SAMBUTAN MAULIDUR RASUL & SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN TAHUN 2026 JPSS ![]()
28 Ogos 2026 Jumaat bersamaan 15 Rabiulawwal 1448H Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) telah mengadakan Majlis Perhimpunan JPSS Bil. 4 Tahun 2026 bersekali dengan Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Tahun 2026, yang dianjurkan dengan kerjasama Badan Kebajikan JPSS (BAKEP).
Majlis dimulakan dengan alunan selawat secara beramai-ramai oleh seluruh warga kerja JPSS yang hadir, seterusnya disusuli dengan Ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Khairiamri bin Ahmad, Penolong Mufti Kanan, Jabatan Mufti Negeri Selangor. Pengisian ceramah tersebut menjadi wadah dalam menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW serta menghayati nilai dan teladan Baginda dalam kehidupan dan perkhidmatan.
Seusai ceramah, majlis diteruskan dengan Perhimpunan JPSS Bil. 4 Tahun 2026 dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69. Turut berlangsung ialah penyampaian Anugerah Pekerja Contoh Bulanan dan Anugerah Kehadiran Terbaik Bulanan kepada para penerima sebagai tanda penghargaan serta dorongan kepada warga JPSS untuk terus membudayakan kecemerlangan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pemegang taruh.
Majlis kemudiannya diserikan dengan nyanyian Lagu Jalur Gemilang secara beramai-ramai dan acara memotong kek sebagai simbolik sambutan.
Semoga penganjuran majlis ini dapat terus menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, memperkukuh semangat patriotisme serta mengeratkan ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan warga JPSS.
Salam Maulidur Rasul & Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69. ![]()











