KURSUS PEMANTAPAN FORMAT DAN PENULISAN SURAT RASMI ORGANISASI
Shah Alam, 28-29 September 2026 – Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) melalui Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Format dan Penulisan Surat Rasmi Organisasi bertempat di Bilik Cempaka, Hotel De Palma Shah Alam.
Kursus ini disertai oleh Pembantu Tadbir, Pembantu Syariah dan Penolong Pegawai Syariah. Pengisian kursus memfokuskan kepada pemantapan penulisan surat rasmi Jabatan serta kaedah penulisan yang betul berdasarkan format Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Peserta telah menerima perkongsian ilmu daripada Munsyi Bahasa, Tuan Abdul Karim A. Bakar, mantan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang aktif memberi bimbingan dalam usaha memasyarakatkan dan memantapkan penggunaan Bahasa Melayu, khususnya dalam konteks pentadbiran dan urusan rasmi sektor awam.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah memberi nilai tambah kepada peserta dalam meningkatkan kemahiran penulisan serta memastikan penggunaan format surat rasmi yang berkualiti dan menepati standard ditetapkan.










