29 April 2025, Shah Alam – AKRAB Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) telah mengadakan satu lawatan penanda aras ke Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bagi memperkukuh pelaksanaan Program AKRAB dan Pementoran pada 29 April 2025.
Lawatan yang diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Puan Sofian Binti Ahmad ini turut disertai oleh Ketua-ketua Bahagian serta ahli-ahli AKRAB dan Program Pementoran. Lawatan ini bertujuan membuat tinjauan amalan terbaik berkaitan bimbingan rakan sekerja, pembangunan kendiri dan pengukuhan sahsiah di tempat kerja. Selain memperluas perspektif pelaksanaan program, ia juga membuka ruang kerjasama strategik antara JPSS dengan agensi luar dalam memperkasa fungsi AKRAB di jabatan ini.
Di dalam lawatan ini, peserta telah diberi penerangan daripada wakil PKNS dan JAKESS mengenai pelaksanaan aktiviti dan program yang dilaksanakan serta usaha penerapan nilai AKRAB dalam budaya kerja. Para peserta juga turut berpeluang melawat fasiliti sokongan pekerja yang disediakan oleh PKNS seperti bilik kaunseling dan sudut AKRAB.
Antara dapatan utama daripada program lawatan ini adalah keperluan penekanan terhadap sistem pementoran yang tersusun serta keperluan memperkasa fasilitator AKRAB melalui latihan berterusan. Langkah ini dilihat penting dalam memperkukuh peranan AKRAB sebagai agen sokongan psikososial di jabatan ini. Oleh itu, AKRAB JPSS komited untuk menerapkan penambahbaikan hasil lawatan ini demi membudayakan nilai positif, kesejahteraan mental, meningkatkan semangat kebersamaan serta semangat berpasukan di kalangan warga kerja.









