FAQ – Soalan lazim
Home » FAQ – Soalan lazim
Soalan Lazim (FAQ)
1. Apakah Peranan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor?
- Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor merupakan salah satu agensi yang bertanggungjawab untuk meneliti kertas siasatan, melaksanakan pendakwaan terhadap mana-mana orang yang melibatkan pelanggaran undang‑undang syariah yang berkuat kuasa di Negeri Selangor.
2. Apakah bidang kuasa Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor?
- Jabatan ini mengendalikan kes‑kes berkaitan pelanggaran terhadap undang‑undang syariah yang berkuat kuasa seperti berikut:
- Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
- Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
- Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
- Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
3. Apakah proses yang dilaksanakan setelah kes selesai disiasat di peringkat Penguatkuasaan?
- Setelah kes selesai disiasat, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor akan melaksanakan beberapa tindakan seperti berikut:
i. Penilaian Keterangan dan Bukti
- Pendakwa Syarie akan membuat penilaian ke atas semua keterangan dan bukti yang dikumpulkan semasa siasatan bagi menentukan sama ada terdapat asas yang kukuh untuk meneruskan pendakwaan.
ii. Keputusan Pendakwaan
- Jika bukti mencukupi, Ketua Pendakwa Syarie akan memutuskan untuk meneruskan pendakwaan. Jika tidak, kes tidak diteruskan atau diambil tindakan lain seperti mengarahkan Pegawai Penyiasat untuk melengkapkan siasatan.
iii. Pemfailan Kes ke Mahkamah
- Jika keputusan pendakwaan dibuat, Jabatan akan melaksanakan proses pemfailan kes di Mahkamah Syariah termasuk penyediaan dokumentasi pertuduhan.
4. Bagaimana Orang Kena Tuduh (OKT) dimaklumkan berkaitan tarikh prosiding?
- OKT akan dimaklumkan tarikh prosiding melalui saman yang disampaikan oleh Mahkamah.
5. Apa yang berlaku jika tidak hadir ke Mahkamah mengikut tarikh yang ditetapkan?
- Pendakwa Syarie akan memohon waran tangkap dilaksanakan terhadap OKT yang tidak hadir mengikut proses undang‑undang yang ditetapkan.
6. Adakah terdapat bayaran untuk perkhidmatan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor?
- Tidak. Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor tidak mengenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan pendakwaan.
7. Adakah Jabatan ini menyediakan perkhidmatan nasihat undang‑undang?
- Tidak. Anda boleh menghubungi Peguam Syarie bertauliah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan panduan berkaitan undang‑undang Syariah.
8. Bagaimana memohon supaya kes yang telah difailkan digugurkan?
- Permohonan representasi hendaklah dibuat kepada Ketua Pendakwa Syarie dan kes boleh digugurkan sekiranya representasi tersebut dibenarkan/diluluskan.
9. Proses jika OKT mengaku bersalah?
1. Pengakuan Bersalah
- Mahkamah akan merekodkan pengakuan dan memastikan pengakuan dibuat tanpa paksaan.
2. Pembentangan Fakta Kes
- Pendakwa Syarie akan membentangkan fakta yang berkaitan.
3. Sabitan Kesalahan
- Mahkamah mensabitkan kesalahan sebagaimana dalam kertas pertuduhan.
4. Mitigasi
- OKT mengemukakan hujahan mitigasi bagi tujuan peringanan hukuman.
5. Keputusan/Hukuman
- Hakim menentukan hukuman berdasarkan fakta, mitigasi dan hujah pemberatan.
10. Apa yang perlu dilakukan jika tidak berpuas hati dengan keputusan?
- Pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan rayuan kepada mahkamah lebih tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibacakan.
11. Proses jika OKT tidak mengaku bersalah?
- Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan dan OKT akan dibenarkan bon jaminan mengikut budi bicara Mahkamah sehingga perbicaraan.