SHAH ALAM | 12 – 13 NOVEMBER 2026
Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) melalui Bahagian Penyelidikan dan Perundangan telah menganjurkan Bengkel Libat Urus Bersama Agensi Agama bagi Cadangan Pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor Tahun 2003 yang berlangsung pada 12 hingga 13 November 2026 bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.
Bengkel ini bertujuan membincangkan cadangan pindaan terhadap Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003, dengan memberikan tumpuan khusus kepada aspek peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan yang berlaku melalui media sosial. Perbincangan ini turut mengambil kira keperluan memperhalusi peruntukan sedia ada agar lebih bersesuaian dengan perkembangan teknologi komunikasi dan landskap jenayah semasa.
Program ini melibatkan seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada Bahagian Penyelidikan dan Perundangan JPSS serta wakil agensi berkaitan, termasuk Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Penolong Penasihat Undang – undang Syariah , Penolong Penasihat Undang-Undang dari Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah terlibat dalam sesi perbincangan dan penelitian bersama bagi mendapatkan pandangan serta input daripada pelbagai agensi berkaitan. Pendekatan libat urus ini penting bagi memastikan cadangan pindaan yang dikemukakan mengambil kira keperluan pelaksanaan undang-undang, aspek penyiasatan, pendakwaan dan pengendalian kes di Mahkamah Syariah.
Sebagai hasil bengkel, satu draf cadangan khusus pindaan peruntukan berkaitan kesalahan yang melibatkan media sosial telah berjaya disediakan. Draf tersebut akan menjadi asas kepada penelitian dan tindakan selanjutnya dalam proses cadangan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen JPSS untuk terus memperkukuh kerjasama strategik antara agensi agama dan pihak berkepentingan dalam usaha menambah baik kerangka perundangan Syariah, selaras dengan perkembangan semasa serta keperluan penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah di Negeri Selangor.










