Uncategorized

AKRAB DAN PROGRAM PEMENTORAN JPSS MERIAHKAN JELAJAH PSIKOLOGI NEGERI SELANGOR SEMPENA HARI KLANG TANPA KENDERAAN 2026

KLANG, 15 NOVEMBER 2026 – Pasukan AKRAB dan Program Pementoran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) telah menyertai program Jelajah Psikologi Negeri Selangor Sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan Tahun 2026 yang berlangsung di Laman Seni Safari Klang, pada 15 November 2026, bermula jam 7.15 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Penyertaan ini merupakan salah satu usaha JPSS dalam menyokong inisiatif pembangunan kesejahteraan psikologi, kesihatan mental serta pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.

Antara pengisian menarik yang melibatkan pasukan AKRAB dan peserta Program Pementoran JPSS ialah penyertaan dalam aktiviti Fun Walk yang memberi peluang kepada para peserta untuk mengamalkan gaya hidup aktif, meningkatkan kecergasan fizikal serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana santai dan harmoni.

Selain itu, peserta Program Pementoran JPSS turut mengambil bahagian dalam aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui penanaman pokok. Aktiviti ini bukan sahaja menyemai kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, malah menjadi simbolik kepada nilai pertumbuhan, pembudayaan amalan positif dan kelestarian yang turut diterapkan dalam pelaksanaan program pementoran.

Penglibatan peserta pementoran dalam aktiviti luar pejabat seperti ini turut membuka ruang kepada pembelajaran secara tidak formal, membina kerjasama berpasukan, meningkatkan komunikasi interpersonal serta memupuk semangat kebersamaan antara mentor dan menti.

Penyertaan AKRAB dan Program Pementoran JPSS dalam program ini mencerminkan komitmen jabatan untuk terus menyokong agenda kesejahteraan psikologi warga kerja melalui pendekatan yang menyeluruh, bukan sahaja berfokus kepada pembangunan kompetensi profesional, malah turut menitikberatkan aspek kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi dan hubungan sosial.

Semoga penglibatan seumpama ini dapat terus menyemarakkan budaya kerja yang sihat, positif, harmoni dan sejahtera dalam kalangan warga Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.

AKRAB JPSS | MENGENALI POTENSI, MEMBINA KOMPETENSI, MEMPERKASA PROFESIONALISME.

Back to list

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *