SHAH ALAM, 5 September 2026 – Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) melalui Bahagian Penyelidikan dan Perundangan telah menganjurkan Bengkel Cadangan Pindaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor (ETJSS) pada 4 hingga 5 September 2026 bertempat di Whyndham Garden Hotel i-City Shah Alam.
Bengkel ini melibatkan seramai 16 orang peserta terdiri daripada pegawai Bahagian Penyelidikan dan Perundangan JPSS , Pendakwa Syarie Selangor bersama Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) , Penolong Penasihat Undang-Undang dan Penolong Penasihat Undang-undang Syariah dari Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.
Program tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor dengan memberi fokus kepada semakan, penelitian dan pengemaskinian deraf cadangan pindaan EJSS dan ETJSS yang telah disediakan oleh JPSS.
Sesi perbincangan yang berlangsung secara intensif memberi ruang kepada para peserta untuk meneliti setiap cadangan pindaan dari aspek perundangan, tatacara serta keperluan pelaksanaan undang-undang Syariah di Negeri Selangor.
Hasil perbincangan dan penelitian bersama, beberapa penambahbaikan terhadap deraf cadangan pindaan telah berjaya dilaksanakan bagi menghasilkan deraf yang lebih berkualiti, komprehensif dan menepati keperluan perundangan Syariah semasa.
Penganjuran bengkel ini merupakan antara usaha berterusan JPSS dalam memperkasa dan memantapkan kerangka perundangan Syariah Negeri Selangor, di samping memastikan peruntukan undang-undang yang dicadangkan sentiasa relevan, jelas dan berupaya menyokong pelaksanaan keadilan Syariah secara lebih berkesan.
Kerjasama strategik antara JPSS, MAIS dan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor melalui sesi semakan dan perbincangan ini turut mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan cadangan pindaan perundangan Syariah negeri disediakan dengan penelitian yang sewajarnya serta mengambil kira keperluan perundangan dan pentadbiran keadilan Syariah.







