Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) telah berjaya menganjurkan Program Pemantapan Kerohanian & Komunikasi Berkesan pada 11 dan 12 September 2025 bertempat di Janda Baik, Pahang.
Program dua hari satu malam ini telah disertai oleh seramai 37 orang pegawai dan kakitangan JPSS, termasuk Ketua Pendakwa Syarie, Puan Sofian binti Ahmad, dan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Puan Zamniazura binti Mohd Sarin.
Program ini dianjurkan dengan matlamat utama untuk:
• Memberi kesegaran rohani dan memupuk nilai-nilai murni yang positif dalam kalangan pegawai agar lebih berkeyakinan dan beretika dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.
• Membentuk dan menjalinkan hubungan ukhuwah yang erat di kalangan seluruh warga JPSS.
• Meningkatkan kemahiran komunikasi interpersonal dan kerja berpasukan yang berkesan, sekaligus menyemai semangat kebersamaan dan persefahaman.
Empat aktiviti yang berorientasikan fizikal dan mental telah dilaksanakan bagi mencapai objektif program:
• Hari Pertama (11 September): Para peserta terlibat dalam aktiviti lasak seperti ATV dan Paintball, yang menguji kemahiran berfikir pantas dan kerja berpasukan. Sesi diakhiri dengan Aktiviti AKRAB JPSS pada waktu malam yang berfokus kepada pembinaan karakter dan pemantapan kerohanian.
• Hari Kedua (12 September): Semua peserta menyahut cabaran Jungle Trekking sejauh 6-8 km pergi dan balik ke Air Terjun Ulu Tampik (Air Terjun 5 Tampik), yang menguji ketahanan fizikal dan mental, serta menyemai nilai-nilai disiplin dan multitasking.
JPSS berharap program ini telah mencapai matlamatnya dalam meningkatkan motivasi, integriti, dan semangat berpasukan dalam kalangan semua pegawai. Kerjasama yang kukuh ini penting bagi memacu kecemerlangan JPSS dalam memastikan keadilan Syariah ditegakkan di Negeri Selangor dengan penuh profesionalisme dan amanah.





















 
	 
 
 

 
	