Uncategorized

JPSS & UNIT INTEGRITI SUK SELANGOR JAYAKAN SEMINAR PERUNDANGAN JENAYAH SYARIAH TAHUN 2025

Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) dengan kerjasama Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) telah berjaya menganjurkan Seminar Perundangan Jenayah Syariah Tahun 2025 : Kesalahan, Implikasi Dan Integriti Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 16 Oktober 2025.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor iaitu YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah. Program yang telah dilaksanakan ini bukan sahaja memberi fokus kepada hukum hakam, tetapi juga menekankan kepentingan menjaga integriti dan memahami berkenaan dimensi undang-undang Syariah dalam konteks perkhidmatan awam.

Penyertaan melibatkan wakil dari 42 agensi di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dan turut hadir dalam sesi perkongsian ilmu ini adalah wakil-wakil dari Agensi Penguatkuasa Persekutuan sekitar daerah Klang dan Petaling iaitu PDRM dan MINDEF (Briged 11, Kem Sg. Buloh).

Seminar ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang jenayah syariah dan jenis-jenis kesalahan yang diwartakan dibawah undang-undang syariah Negeri Selangor. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang peranan penjawat awam dalam memastikan pematuhan undang-undang syariah seiring prinsip Maqasid Syariah sekaligus memupuk kesedaran mengenai implikasi jenayah syariah terhadap integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam.

Kemuncak seminar ialah sesi forum eksklusif bertajuk “Jenayah Syariah bukan Sekadar Dosa: Implikasi Terhadap Penjawat Awam” oleh tiga (3) orang panel jemputan iaitu Puan Zizul Naziha binti Zulkifly, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, JAIS; Tuan Husaini bin Roslin, Ketua Bahagian Perundangan, Perbicaraan dan Rayuan, JPSS; dan Puan Norizah binti Mansur Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Unit Integriti, Kementerian Kesihatan Malaysia.

JPSS mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Integriti PSUK Selangor, panel penceramah, urus setia, serta semua yang komited secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan seminar ini. Semoga segala ilmu yang dicurahkan menjadi panduan terbaik dalam memastikan perkhidmatan awam yang berintegriti.

Back to list

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *