Berapa lama tempoh satu-satu kertas siasatan diproses di JPSS?

Kertas siasatan akan mengambil masa 40 hari bekerja dari tarikh kertas siasatan di terima daripada Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan (BPN) JAIS sehingga ia didaftarkan ke Mahkamah atau dikembalikan ke BPN JAIS atau kes tidak diteruskan prosiding.

Sekiranya kes telah didaftarkan, di mana saya boleh mendapatkan tarikh sebutan tersebut?

Setelah kes didaftarkan ke mahkamah, Orang Yang Disyakki (OYDS) akan mengetahui tarikh OYDS perlu hadir ke mahkamah melalui saman yang akan dihantar ke alamat OYDS. Atau boleh menghubungi terus pihak jpss/mahkamah kes tersebut didaftarkan.

Berapakah kadar bayaran denda yang akan dikenakan terhadap saya?

Kadar bayaran denda yang akan dikenakan bergantung kepada kes yang akan didakwa terhadap OYDS mengikut enakman yang digunapakai.

Bagaimana untuk saya mohon agar kes dipercepatkan ( kes belum didaftar di mahkamah)?

Sebarang permohonan untuk mempercepatkan kes hendaklah membuat permohonan secara bertulis (surat / emel) beserta alasan yang munasabah dan dokumen sokongan (jika perlu) kepada Ketua Pendakwa Syarie.

Bagaimana untuk saya mohon agar kes dipercepatkan (kes telah didaftar di mahkamah)?

Sebarang permohonan untuk mempercepatkan atau meminda tarikh kes sebutan setelah kes didaftarkan di  mahkamah adalah di bawah bidangkuasa mahkamah di mana kes tersebut didengar.

Di manakah untuk saya mendapatkan tarikh tangguhan kes saya?

Tarikh tangguhan kes boleh diperolehi melalui mahkamah di mana kes itu didengar atau melalui JPSS.

Bolehkah sekiranya saya mohon agar kes saya digugurkan?

Kertas siasatan yang diterima akan diteruskan proses sehingga kes tersebut diputuskan sama ada untuk didaftarkan atau  dikembalikan atau kes tidak diteruskan prosiding. Sekiranya terdapat pihak yang ingin memohon agar kes digugurkan bolehlah membuat permohonan terus kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk dipertimbangkan.

Bagaimanakah cara untuk saya membuat rayuan bagi kes saya?

Rayuan boleh dibuat secara lisan atau secara bertulis dengan membuat dua (2) salinan. Satu salinan diserah kepada mahkamah dan satu salinan diserah kepada Pendakwa Syarie yang mengendalikan kes tersebut.

Adakah JPSS masih mengeluarkan surat sokongan untuk kes yang melibatkan penyambungan VISA bagi pendatang asing yang telah atau hampir tamat?

Tidak. JPSS tiada bidangkuasa untuk mengeluarkan sebarang surat sokonngan untuk penyambungan VISA bagi yang telah atau hampir tamat tempoh.

Terdapat berapa jenis kes yang didaftarkan oleh JPSS ke Mahkamah Syariah?

Untuk semua kesalahan pelanggaran seksyen-seksyen yang terdapat di dalam enakman yang digunapakai di Negeri Selangor.

Apakah yang menyebabkan kes tidak diteruskan prosiding oleh JPSS?

Apabila elemen kesalahan tidak dipenuhi atau tiada bidangkuasa kes didakwa di Negeri Selangor.